"SUCIKANLAH nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan semua makhluk di dalamnya.

"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan) gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi, bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah. Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhluk- Nya.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3). Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua- duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang dikurniakan Allah.

"Allahlah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat belayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripadanya. Sesungguhnya ..." (Al-Jaatsiyah: 12-13)

Ayat terakhir ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada manusia sehingga menundukkan alam ini untuk kegunaannya. Apa yang perlu diingat sekarang adalah alam semesta yang terbentang luas ini sebenarnya adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik oleh semua manusia supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa alam semula jadi ini tidak rosak dan tercemar serta mendatangkan kemudaratan kepada penghuninya pada masa depan.

Mencintai alam sekitar perlu dipupuk di rumah sendiri dan bermula dengan setiap individu. Anak perlu dibabitkan dan mendidik mereka untuk mencintai alam sekitar bukan terhad kepada kelas sains di sekolah semata-mata kerana tanggungjawab ini sangat besar dan perlu diamalkan bersama sehingga amalan ini menjadi amalan kebiasaan individu, keluarga dan masyarakat Islam di negara ini.

Antara penyebab utama pencemaran alam sekitar ialah jumlah sampah yang terlalu banyak dan tidak dibuang di tempat yang sepatutnya. Sungai menjadi pusat pembuangan sampah, ikan dan tumbuhan air tidak dapat hidup dengan subur dan manusia tidak dapat mengulangi kenangan manis masa lampau seperti memancing dan bermandi-manda dalam sungai kerana pencemaran yang terlalu ketara.

Apatah lagi jika sampah itu adalah sisa toksik, maka pencemaran akan mencapai tahap yang membahayakan. Dalam masa 35 tahun lalu, kuantiti sampah yang dibuang oleh seseorang bertambah dua kali ganda, daripada 1.2 kepada 2.1 kilogram sehari.

Pengalaman mengajar bahawa kita perlu ada cara yang berkesan dan sistematik untuk mengatasi pencemaran yang sangat pesat ini demi menyelamatkan alam sekitar. Sebagai langkah pertama, keharmonian alam sekitar boleh dibantu dengan mengamalkan aktiviti 3M dalam kehidupan harian kita. Jika amalan ini dilakukan setiap hari oleh semua orang, maka masalah pencemaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Apakah amalan 3M ini? Amalannya ialah pertama, mengurangkan kuantiti dan kandungan sampah, terutama yang bersifat toksik, kedua menggunakan semula bekas lama, membaiki peralatan atau memberi kepada orang lain yang boleh menggunakannya, dan ketiga pula ialah mengitar semula termasuk membeli barang-barang yang kandungannya boleh dikitar semula.

Amalan pertama, iaitu mengurangkan kuantiti sampah, bermakna mengurangkan sumber. Pengurangan sumber atau pencegahan bahan buangan bermaksud mengurangkan penggunaan dan pembuangan.

Ini termasuk membeli barang lasak dan tahan lebih lama serta bebas daripada bahan toksik. Proses penyediaan bahan yang lebih lasak dan tahan lama mungkin lebih rumit tetapi kesan jangka panjangnya adalah lebih baik kerana ia tidak banyak menggunakan bahan sumber, boleh digunakan semula dan tidak perlu dibuang.

Amalan kedua, iaitu menggunakan semula bermaksud menggunakan balik barang yang sedia ada sebagai salah satu cara untuk memberhentikan bahan buangan pada peringkat sumber kerana kita melambatkan atau menahan kemasukan bahan itu ke dalam sistem pengutipan dan pembuangan sampah.

Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa antara dua hingga lima peratus daripada sampah yang dibuang sebenarnya boleh diguna semula. Alangkah baiknya dan jimat jika kita berhenti sejenak dan berfikir sebelum membeli dan membuang kerana ini boleh mengurangkan sampah yang bergunung di pusat pembuangan sampah.

Ada beberapa cara untuk mengguna semula. Usaha ini hendaklah diamalkan supaya dapat mengurangkan sampah yang terpaksa dibuang, antaranya ialah menggunakan pinggan mangkuk dan perkakas yang boleh dibasuh dan diguna semula dan bukan jenis `disposable'.

Cara kedua ialah dengan menggunakan mesin pengira dan peralatan lain yang menggunakan kuasa matahari dan membeli bateri yang boleh dicas semula dan ketiga ialah menggunakan kain lap atau sapu tangan untuk mengelap dan bukan kertas tisu serta membasuh botol terpakai dan mengisi semula.

Cara lain untuk mengguna semula ialah dengan mendermakan bahan bacaan dan peralatan lama supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan mengguna semula kotak sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang ada dalam usaha mengguna semula dan ia patut digalakkan secara besar-besaran. Antaranya ialah dengan menjimatkan sumber asli, mengurangkan kandungan toksik sampah dan dengan mengurangkan kos.

Sementara amalan ketiga daripada konsep 3M ialah mengitar semula. Amalan kitar semula adalah antara aktiviti paling berjaya dalam abad ke-20. Pada tahun 2000, di Amerika Syarikat saja program mengitar semula berjaya menyelamatkan 70 juta tan bahan daripada pusat pembuangan dan pembakaran sampah. Ini adalah penjimatan yang sangat tinggi dan jika diteruskan dapat mengurangkan pembaziran dan menyelamatkan alam sekitar.

Menurut kajian, ada banyak kebaikan jika kita mengamalkan aktiviti kitar semula, antaranya ialah dapat menjimatkan sumber alam untuk masa depan anak-anak kita; mengurangkan pengeluaran gas hijau dan pencemaran air; menjimatkan tenaga; membekal sumber tenaga asli kepada industri; membuka peluang pekerjaan; merangsang pertumbuhan teknologi hijau; dan mengurangkan keperluan kepada pusat pembuangan dan pembakaran sampah.

Sebagai rumusan, sebenarnya banyak yang boleh dilakukan untuk menjaga amanah Allah di dunia ini dan membuktikan kesyukuran kita terhadap segala nikmat-Nya.

Mengurangkan pencemaran alam adalah salah satu usaha yang kecil di samping usaha lain yang kita lakukan demi mencari keredaan Allah.

Elakkan pembaziran dan pembuangan kerana sumber asli bumi ini akan pupus dengan cepat jika kita tidak mula berjimat dan menyelamatkannya mulai sekarang. Kekalkan keindahan alam ini demi masa depan anak kita.

- Marihah Suhaimi -


This entry was posted on Tuesday, June 23, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: