Oleh: Marihah binti Suhaimi

Ibu di zaman moden ini beruntung kerana memperolehi pengiktirafan dunia hingga diujudkan satu hari khas untuk meraikan ibu seperti adanya Hari Pahlawan, Hari Kanak-Kanak Sedunia dan sebagainya.
Tetapi jika diteliti, benarkah ibu-ibu sekarang beruntung?
Untuk menjawab persoalan ini dalam konteks Malaysia , kita perlu mengkaji fenomena penghijrahan warga kampung ke bandar dan kesannya terhadap perubahan struktur sosial masyarakat. Anak-anak berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dan mencari peluang pekerjaan sedangkan ibu bapa tinggal dikampung. Tindakan ini memisahkan keluarga dan merubah konsep keluarga daripada ‘extended family’ yang besar kepada ‘nuclear family’ yang lebih kecil.

Peluang pendidikan yang tidak mendiskriminasi lelaki dan wanita pula telah berjaya menghasilkan ramai cendiakawan wanita. Kini 70 peratus penuntut universiti tempatan terdiri daripada pelajar wanita, satu angka yang menimbulkan tanda persoalan kerana mana perginya remaja lelaki Malaysia .

Secara tidak langsung ini meninggalkan kesan terhadap pandangan dan harapan masyarakat terhadap wanita. Wanita tidak lagi diharapkan menjadi suri rumah, tetapi sebaliknya membantu meringankan beban kewangan ibu bapa walaupun mereka telah berkeluarga. Tetapi anehnya, peranan lelaki dan harapan masyarakat terhadap lelaki masih tidak banyak berubah. Tugas-tugas dirumah masih pertanggungjawabkan ke atas wanita walaupun bekerja.

Bekerja sepenuh masa bermakna sekurang-kurangnya lapan jam di pejabat. Dengan kesesakaan lalu lintas yang memerlukan pergi kerja lebih awal dan pulang lebih lewat maka seorang ibu itu berada sekurang-kurangnya 10 jam jauh daripada anak-anaknya. Tugas pengasuhan diambil alih oleh pembantu rumah atau penjaga nurseri. Apabila pulang kerumah, ibu yang telah penat bekerja ini harus pula melayan kerenah anak-anak dan suami disamping membereskan kerja-kerja rumah yang lain.

Mampukah ibu-ibu menyelesaikan semua tugas-tugas ini dengan baik?. Tentu bukan mudah dan terpaksa menghadapi pelbagai tekanan. Tekanan untuk menjadi ibu yang sempurna di rumah dan tekanan untuk menjadi pekerja yang cemerlang di tempat kerja.

Bagaimana harus seorang ibu mengharungi dua dunia serba mencabar ini supaya salah satunya atau kedua-duanya tidak tercicir?

Bagaimanakah harus dia kekal terapung dan tidak lemas?

Apakah corak pemikiran dan tingkahlaku yang diperlukan oleh seorang ibu untuk berjaya?

Beberapa cadangan disyorkan sebagai garispanduan untuk ibu-ibu menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik:
Apakah matlamat hidup –
‘Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku’(Ad-Dzaariyat : 56)
Ini adalah sebab yang utama kita dijadikan. Matlamat hidup ini hendaklah merangkumi seluruh kehidupan samada sebagai seorang individu, seorang isteri, ibu dan pekerja. Kesemua aspek-aspek ini hendaklah di selaraskan agar tidak bercanggah dan berlawanan tetapi disalurkan ke arah keredaan Allah SWT.

Rancang mengikut keutamaan – perancangan adalah berdasarkan matlamat dan hendaklah disusun mengikut keutamaan. Mustahil untuk berada dalam dua tempat pada satu masa maka kemahiran menyusun jadual dan pembahagian tugas amat penting. Ada kerja yang ibu kena lakukan sendiri dan ada yang boleh diserahkan pada orang lain. Sebagai contoh, apabila berada dirumah, kebajikan anak-anak lebih utama daripada kerja-kerja mencuci kerana mencuci boleh dilakukan dengan bantuan teknologi atau orang lain. Rancang dan ikut perancangan tetapi beri sedikit ruang untuk keanjalan agar tidak terlalu rigid dan membebankan.

Berkeyakinan diri – apabila matlamat dan senarai keutamaan telah ditentukan maka ibu perlu cekal dan bermotivasi untuk mencapainya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Ini memerlukan semangat yang kuat dan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan. Tidak guna melayan rasa bersalah keluar bekerja dan meninggalkan anak kerana bekerja bukannya pergi makan angin tetapi mencari rezeki. Jika perasaan bersalah sering melanda dan sukar diatasi maka lebih baik ibu berhenti kerja dan tumpukan sepenuh masa dirumah.

Berakhlak mulia – ibu yang berakhlak mulia penting untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Ibu merupakan guru dan ‘role model’ pertama anak-anak. Akhlak anak-anak sering dilihat sebagai cermin akhlak ibu yang mendidik mereka.

Kemesraan berinteraksi - senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu boleh menjadi penawar kedukaan. Anak-anak yang pulang kerumah dan disambut dengan sifat mesra dan penyayang akan rasa dihargai. Bayangkan apa perasaan anak jika pulang ke rumah disambut dengan muka bengis dan rungsing ibu, tentu menggerunkan.

Keikhlasan - ibu hendaklah sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduknya. Kejujuran dan keikhlasan dapat dirasai oleh oleh anak. Apabila ibu menghukum anak misalnya, kejujuran dan keikhlasan ibu akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan hukuman yang disertai dengan perasaan marah dan benci.

Berkomunikasi dengan baik –bincang dengan suami dan anak-anak tentang perkara-perkara yang perlu dibereskan. Jangan jadi ‘superwoman’ dan mahu melakukan segala-segalanya seorang diri kerana ini akan memudaratkan kesihatan.

Sentiasa berdoa - ibu seharusnya sentiasa berdoa untuk diri dan ahli keluarganya. Usaha tanpa doa tidak dapat mendatangkan hasil yang sempurna kerana Allahlah yang menentukan segalanya.

Kesimpulan
Kepada ibu-ibu, tentu ramai setuju sungguh sukar untuk mencari kesempurnaan atau keseimbangan dalam dunia kerjaya dan rumahtangga ini. Cukup dengan berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segalanya kepada Allah kerana Allah maha mengetahui akan kelemahan dan kekurangan hambaNya.

Kepada suami-suami, ingatlah firman Allah:
‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Ia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih dan sayang dan belas kasihan.
Kasih sayang dan sifat keperihatinan suami dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh isteri.(Ar-Ruum: 21)

Kepada anak-anak, hargailah ibu-ibu anda. Peluang ini Allah beri sekali sahaja sementara nafas mereka masih ada. Bantulah meringankan tugas-tugas dirumah kerana ini dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Jadikan hari ibu bukan setakat satu hari ini sahaja tetapi setiap hari sepanjang hayat ibu. Cukup kah sekuntum bunga dalam setahun untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu? Bagaimanakah ungkapan ‘syurga itu dibawah tapak kaki ibu’ dapat di kekalkan dalam minda anak anak zaman ini?


"SUCIKANLAH nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan semua makhluk di dalamnya.

"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan) gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi, bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah. Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhluk- Nya.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3). Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua- duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang dikurniakan Allah.

"Allahlah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat belayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripadanya. Sesungguhnya ..." (Al-Jaatsiyah: 12-13)

Ayat terakhir ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada manusia sehingga menundukkan alam ini untuk kegunaannya. Apa yang perlu diingat sekarang adalah alam semesta yang terbentang luas ini sebenarnya adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik oleh semua manusia supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa alam semula jadi ini tidak rosak dan tercemar serta mendatangkan kemudaratan kepada penghuninya pada masa depan.

Mencintai alam sekitar perlu dipupuk di rumah sendiri dan bermula dengan setiap individu. Anak perlu dibabitkan dan mendidik mereka untuk mencintai alam sekitar bukan terhad kepada kelas sains di sekolah semata-mata kerana tanggungjawab ini sangat besar dan perlu diamalkan bersama sehingga amalan ini menjadi amalan kebiasaan individu, keluarga dan masyarakat Islam di negara ini.

Antara penyebab utama pencemaran alam sekitar ialah jumlah sampah yang terlalu banyak dan tidak dibuang di tempat yang sepatutnya. Sungai menjadi pusat pembuangan sampah, ikan dan tumbuhan air tidak dapat hidup dengan subur dan manusia tidak dapat mengulangi kenangan manis masa lampau seperti memancing dan bermandi-manda dalam sungai kerana pencemaran yang terlalu ketara.

Apatah lagi jika sampah itu adalah sisa toksik, maka pencemaran akan mencapai tahap yang membahayakan. Dalam masa 35 tahun lalu, kuantiti sampah yang dibuang oleh seseorang bertambah dua kali ganda, daripada 1.2 kepada 2.1 kilogram sehari.

Pengalaman mengajar bahawa kita perlu ada cara yang berkesan dan sistematik untuk mengatasi pencemaran yang sangat pesat ini demi menyelamatkan alam sekitar. Sebagai langkah pertama, keharmonian alam sekitar boleh dibantu dengan mengamalkan aktiviti 3M dalam kehidupan harian kita. Jika amalan ini dilakukan setiap hari oleh semua orang, maka masalah pencemaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Apakah amalan 3M ini? Amalannya ialah pertama, mengurangkan kuantiti dan kandungan sampah, terutama yang bersifat toksik, kedua menggunakan semula bekas lama, membaiki peralatan atau memberi kepada orang lain yang boleh menggunakannya, dan ketiga pula ialah mengitar semula termasuk membeli barang-barang yang kandungannya boleh dikitar semula.

Amalan pertama, iaitu mengurangkan kuantiti sampah, bermakna mengurangkan sumber. Pengurangan sumber atau pencegahan bahan buangan bermaksud mengurangkan penggunaan dan pembuangan.

Ini termasuk membeli barang lasak dan tahan lebih lama serta bebas daripada bahan toksik. Proses penyediaan bahan yang lebih lasak dan tahan lama mungkin lebih rumit tetapi kesan jangka panjangnya adalah lebih baik kerana ia tidak banyak menggunakan bahan sumber, boleh digunakan semula dan tidak perlu dibuang.

Amalan kedua, iaitu menggunakan semula bermaksud menggunakan balik barang yang sedia ada sebagai salah satu cara untuk memberhentikan bahan buangan pada peringkat sumber kerana kita melambatkan atau menahan kemasukan bahan itu ke dalam sistem pengutipan dan pembuangan sampah.

Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa antara dua hingga lima peratus daripada sampah yang dibuang sebenarnya boleh diguna semula. Alangkah baiknya dan jimat jika kita berhenti sejenak dan berfikir sebelum membeli dan membuang kerana ini boleh mengurangkan sampah yang bergunung di pusat pembuangan sampah.

Ada beberapa cara untuk mengguna semula. Usaha ini hendaklah diamalkan supaya dapat mengurangkan sampah yang terpaksa dibuang, antaranya ialah menggunakan pinggan mangkuk dan perkakas yang boleh dibasuh dan diguna semula dan bukan jenis `disposable'.

Cara kedua ialah dengan menggunakan mesin pengira dan peralatan lain yang menggunakan kuasa matahari dan membeli bateri yang boleh dicas semula dan ketiga ialah menggunakan kain lap atau sapu tangan untuk mengelap dan bukan kertas tisu serta membasuh botol terpakai dan mengisi semula.

Cara lain untuk mengguna semula ialah dengan mendermakan bahan bacaan dan peralatan lama supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan mengguna semula kotak sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang ada dalam usaha mengguna semula dan ia patut digalakkan secara besar-besaran. Antaranya ialah dengan menjimatkan sumber asli, mengurangkan kandungan toksik sampah dan dengan mengurangkan kos.

Sementara amalan ketiga daripada konsep 3M ialah mengitar semula. Amalan kitar semula adalah antara aktiviti paling berjaya dalam abad ke-20. Pada tahun 2000, di Amerika Syarikat saja program mengitar semula berjaya menyelamatkan 70 juta tan bahan daripada pusat pembuangan dan pembakaran sampah. Ini adalah penjimatan yang sangat tinggi dan jika diteruskan dapat mengurangkan pembaziran dan menyelamatkan alam sekitar.

Menurut kajian, ada banyak kebaikan jika kita mengamalkan aktiviti kitar semula, antaranya ialah dapat menjimatkan sumber alam untuk masa depan anak-anak kita; mengurangkan pengeluaran gas hijau dan pencemaran air; menjimatkan tenaga; membekal sumber tenaga asli kepada industri; membuka peluang pekerjaan; merangsang pertumbuhan teknologi hijau; dan mengurangkan keperluan kepada pusat pembuangan dan pembakaran sampah.

Sebagai rumusan, sebenarnya banyak yang boleh dilakukan untuk menjaga amanah Allah di dunia ini dan membuktikan kesyukuran kita terhadap segala nikmat-Nya.

Mengurangkan pencemaran alam adalah salah satu usaha yang kecil di samping usaha lain yang kita lakukan demi mencari keredaan Allah.

Elakkan pembaziran dan pembuangan kerana sumber asli bumi ini akan pupus dengan cepat jika kita tidak mula berjimat dan menyelamatkannya mulai sekarang. Kekalkan keindahan alam ini demi masa depan anak kita.

- Marihah Suhaimi -


5 April 2009 (Ahad) - Wanita JIM Sepang dan Hulu Langat dengan kerjasama Kolej Komuniti telah berjaya menganjurkan PPMWI (2) di Fakulti Kejuteraan, UPM, yang dihadiri seramai 118 orang.

Seminar yang disampaikan oleh Prof. Madya Ustaz Dr Hj Zulfakar Ramlee, UIA ini bertujuan memberi maklumat khususnya kaum wanita mengenai hak-hak wanita apabila menghadapi isu isu penderaan dan penjagaan anak-anak setelah bercerai mengikut perspektif Islam.

Pn Rosmawati Zainal dari Raudatus Sakinah juga turut berkongsi pengalaman beliau dalam menangani kes-kes sosial di mana menurut beliau, pertambahan rumah-rumah kebajikan bukanlah cara yang terbaik untuk menyelasaikan isu ini, tetapi menuntut tanggungjawab bersama melalui dakwah mengenai kesedaran Islam bermula rumah hinggalah masyarakat.

Pameran poster mengenai gejala sosial pada masa kini dan jualan kecil-kecilan dari Wanita JIM Ulu Langat turut diadakan.

PPMWI(3) akan di adakan dalam bulan Ogos 2009 mengenai harta pusaka.

- Aidah Bt M Amin -